KUCHING: Pernah bergelumang dengan dadah selain dipandang sinis oleh masyarakat atas jenayah juvana dilakukan.

Namun semua itu tidak mematahkan semangat calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo dan Sekolah Integriti Kuching menikmati kemanisan berjaya dalam peperiksaan itu.

Lebih membanggakan 15 penghuni pusat pemulihan itu berjaya lulus 100 peratus dan momen manis itu dirai secara sederhana pihak pengurusan Jabatan Penjara Malaysia Sarawak dalam satu majlis penyampaian keputusan peperiksaan SPM di sekolah Henry Gurney yang turut dihadiri Pengarah Penjara Puncak Borneo, Hamdan Salleh Majin.

Kesemua calon SPM 2020 ini layak untuk mendapat sijil yang mana seorang calon telah mendapat 5A, dua calon mendapat 3A, dua calon mendapat 2A dan dua calon mendapat 1A.

Seramai 13 orang penghuni Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo dan dua orang penghuni Sekolah Integriti Kuching telah menduduki peperiksaan SPM 2020 serentak dengan 401,105 calon di seluruh negara.

Semasa majlis itu juga, para guru yang mendidik mereka hadir sama bagi memberikan semangat buat anak-anak ini yang sememangnya merindukan pelukan seorang ibu dan ayah seperti ucapan tahniah dari keluarga seperti calon SPM yang lain.

Namun ketika itu hanya guru dan pegawai penjara yang boleh hadir secara fizikal untuk meraikan kejayaan cemerlang mereka bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain dengan pematuhan SOP.

Adalah diharapkan penghuni yang mendapat keputusan yang cemerlang ini dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cerah dan bermakna untuk mereka kembali ke pangkuan keluarga.